PENGENALAN


Aluan Guru Besar


Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam terus menjulang Sarawak.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya Perancangan Strategik SK Abang Abdul Rahman Saratok ini dapat didokumentasikan. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga SKAAR di atas segala bantuan dan sumbangan idea dalam menghasilkan perancangan strategik ini.

Perancangan strategik sekolah merupakan dokumen penting sebagai dokumen sokongan dan bahan rujukan yang memaparkan keadaan, senario, prestasi semasa serta perancangan dan pelan tindakan pihak sekolah dalam memastikan prestasi akademik anak didik sentiasa ditahap cemerlang.

Apabila membicarakan tentang prestasi akademik, sudah pasti komitmen serta kerja keras daripada setiap warga sekolah amat diharapkan. Tanpa sokongan dan bantuan daripada semua warga sekolah termasuk AJK dan ahli PIBG, sudah pasti perancangan yang telah disusun dengan rapi tidak akan menjadi kenyataan.

Tahun 2014 merupakan tahun yang agak mencabar bagi SKAAR. Ini adalah kerana disamping berusaha untuk memastikan prestasi dalam UPSR terus cemerlang, kita juga akan berjuang bagi memastikan GPS dalam UPSR terus meningkat. Ini adalah selaras dengan hasrat setiap warga SKAAR untuk memastikan prestasi sekolah terus cemerlang dari segi kuantiti dan kualiti.

Melalui perancangan strategik ini, saya berharap ia dapat membantu pihak sekolah dalam membuat perancangan terbaik bagi menghasilkan anak didik terbaik dan cemerlang. Sudah pasti banyak penambahbaikan dapat dibuat untuk mengatasi sebarang kelemahan di samping meningkatkan lagi daya usaha dan inovatif untuk mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan.

Dengan kesempatan ini, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga SKAAR dan PIBG sekolah di atas segala usaha dan bantuan bagi memastikan anak didik kita sentiasa diberi keutamaan agar kecemerlangan sentiasa berada dalam genggaman kita.

Sekian, salam sejahtera dan salam terus menjulang Sarawak.


(WAN BUSRAH BIN WAN SKRAN)

No comments:

Post a Comment